Tuan Mukhtar Bogor, tokoh Islam ahli syariat dan haqiqat

Tuan Mukhtar Bogor merupakan salah satu tokoh Islam asal Indonesia. Melihat namanya, kita tau bahwa beliau berasal dari Bogor, Jawa Barat.

Beliau menguasai banyak bidang disiplin ilmu termasuk ilmu-ilmu hadis, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafie, pengikut setia Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi.

Syeikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid al- Bughuri al-Betawi al-Jawi atau Tuan Mukhtar Bogor merupakan salah seorang ulama Tanah Melayu yang terkenal dan berpengaruh di Mekkah suatu ketika dulu.

Beliau lahir pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278H bersamaan 14 Februari 1862M di Bogor, Jawa Barat.Tuan Mukhtar Bogor mengajar di Masjidil Haram selama 28 tahun dari tahun 1903M hingga 1930M dan mempunyai ramai murid di sana.

Tuan Mukhtar Bogor meninggal dunia di Mekah pada 17 Safar 1349 bersamaan 13 Julai 1930M.
Dalam tasawuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Juneid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, dan lain-lain.

Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatuth Thalibin.

Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikh yang sekaligus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha, iaitu pengarang kitab I'anatuth Thalibin itu.

Kitab fikh Mazhab Syafi'ie yang besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha.

Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri.

Sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil Nail al-Amani tentang nahu. Sedangkan yang bahasa Melayu ialah Faridatul Faraid tentang akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.

Mengenai ilmu hadis terutama kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir kedua-dua kitab itu kepada Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi.
Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama besar yang mendapat tempat dalam masyarakat ialah: Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor, Sayyid Muhsin bin Ali al-Masawi, pengasas Madrasah al-Ulumid Diniyah, Mekah, Kiyai Ahmad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (adik Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi yang sangat terkenal), Kyai Haji Hasyim al-Asy'ari, pengasas Nahdhatul Ulama Indonesia, Kyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi, Sayyid Muhammad Ahyad bin Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang), Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama Kajang (1324 H/1908 M - 1413 H/ 1992 M) dan ramai lagi.

Dalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal.

Praktik mengajar dilakukan di Masjid al-Haram dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di Masjid al-Haram dilakukan antara Maghrib dan Isyak. Dan sesudah Isyak disambung lagi.

Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjid al-Haram sekitar 400 orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama.

Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, ialah ilmu nahu, ilmu sharaf dan balaghah. Sesudah Asar mengajar kitab Ihya' Ulumid Din karangan Imam al-Ghazali.

Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan miqat dilaksanakan pada hari Selasa, iaitu mengajar kitab susunan beliau sendiri.

Syeikh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.


Masukkan email sobat untuk dapatkan berita terbaru:

0 Response to "Tuan Mukhtar Bogor, tokoh Islam ahli syariat dan haqiqat"

Post a Comment